"Sistem kewangan Islam atau sistem perbankan Islam merupakan salah satu bidang dalam pengurusan muamalat Islam. Namun begitu, falsafah dan prinsip sistem kewangan Islam telah digariskan dalam al-Quran dan al-Sunnah sejak 1400 tahun yang lalu melalui Nabi Muhammad s.a.w. Islam adalah agama yang sempurna meliputi norma-norma dan peraturan-peraturan untuk dipatuhi dan diamalkan dalam kehidupan seharian. Ini adalah termasuk aktiviti ekonomi yang membentuk satu sistem kewangan yang merupakan urusan muamalat seharian."-Mohd. Fathullah Adznam.
Sistem kewangan Islam yang berasaskan kepada perkongsian untung rugi dan jualan barangan yang bebas daripada riba merupakan prinsip utama yang membezakan sistem kewangan Islam dan sistem kewangan konvensional. Antara prinsip-prinsip syariah dalam sistem kewangan Islam ialah;
- Tiada riba.
- Larangan gharar (ketidakpastian, penipuan, spekulasi)
- Mengutamakan aktiviti yang halal (dibenarkan oleh agama Islam)
- Lebih mengutamakan persoalan keadilan dan etika-etika dalam Islam.
"Objektif utama sistem kewangan Islam adalah untuk menyebarkan kekayaan ekonomi melalui kerangka muamalat Islam dengan memperkenalkan dan menggunakan prinsip-prinsip Islam yang berlandaskan al-Quran dan al-Sunnah...."- Mohd. Fathullah Adznam.
Objektif Sistem Kewangan Islam
Memudahkan kestabilan dan nilai wang.
Mengekalkan kestabilan dengan pertukaran yang bertepatan dengan harga sesuatu barang adalah salah satu cara perkongsian untung rugi dan jualan barang tanpa riba.
Mengoptimumkan penggunaan sumber.
Pengeluaran Islam yang mempunyai kewajipan sosial memang wajar memaksimumkan outputnya dan bukannya memaksimumkan keuntungannya. Ini merupakan insentif utama pengusaha untuk menghasilkan tingkat pengeluaran yang lebih tinggi demi memenuhi tanggungjawab sosial terhadap masyarakat.Pembahagian sumber yang adil
Sumber ekonomi yang ada perlu diagih-agihkan penggunaannya supaya dapat menghasilkan barang dan perkhidmatan yang sesuai dengan kehendak Islam serta selaras dengan keperluan dan keadaan sesebuah negara Islam.